Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855–2012

Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855–2012

Regular price RM190.00 MYR RM0.00 MYR Unit price per
Tax included. Shipping calculated at checkout.

ohor Moden diasaskan oleh Temenggong Daeng Ibrahim dalam tahun 1855, iaitu bermula dengan penyerahan kerajaan dan negeri Johor oleh Sultan Ali, dan diperkukuhkan oleh Sultan Abu Bakar dengan pelbagai inisiatif yang menerapkan elemen inovasi Barat. Inisiatif elemen inovasi yang diterapkan merentas sistem pentadbiran, pelajaran, pertahanan, pengangkutan, seni bina, cara berpakaian dan perlakuan budaya istana. Kesan inisiatif inovasi ini bukan setakat berlaku pembaharuan, bahkan menjadikan negeri Johor unik dan pertama melakukannya yang mendahului negeri–negeri lain. Inovasi yang amat menyerlah dan memberi impak besar ialah termaktubnya Undang–undang Tubuh Kerajaan yang kandungannya sarat dengan peraturan perajaan. Undang–undang Tubuh Kerajaan Johor ini dicipta dengan tujuan menentukan ketuanan negeri Johor kekal berada dalam kuasa dan jalur zuriat Temenggong.

Inovasi Sultan Abu Bakar yang ditanggap amat bijak dan berani ke arah membawa perubahan dalam tradisi warisan Raja–raja Melayu ialah mencipta sebuah mahkota, regalia dan darjah kebesaran. Penciptaan ini sekali gus memartabatkan kedaulatan Baginda dan waris takhta negeri Johor.

Pembaharuan lain yang dicipta oleh Sultan Abu Bakar adalah pengiktirafan antarabangsa berkaitan gelaran Baginda sebagai Sultan Johor. Pengiktirafan ini menempatkan Baginda sama taraf dengan Raja–raja Melayu. Pengiktirafan ini juga sekali gus menafikan salah tanggap dan tindakan Raja–raja Melayu pada satu ketika yang tidak mengiktiraf Baginda dengan tanggapan Baginda bukan berketurunan darah raja.

Sultan Abu Bakar dan Sultan–sultan Johor selepas Baginda tidak mengetepikan, bahkan menambah baik dan memperkayakan adat resam dan budaya istana untuk dijadikan khazanah dan kesinambungan warisan rakyat.

Budaya istana adalah adunan budaya Melayu dengan budaya Barat, dan diperkukuhkan dengan ajaran dan kefahaman agama Islam. Pengadunan budaya ini dapat dilihat dengan jelas dalam adat istiadat kemahkotaan, sambutan ulang tahun hari keputeraan dan lain–lain istiadat diraja.

Berbekalkan kelebihan ini membolehkan Sultan Abu Bakar membentengi dan mempertahankan kemerdekaan Johor selama 33 tahun berturut–turut daripada serangan bertubi–tubi British untuk menakluki Johor. Kebijaksanaan Baginda ditandai dengan gelaran “Bapa Johor Moden”.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar memperbaiki dan memperkayakan budaya istana dengan meringkaskan cara memberi hormat takzim, mengetepikan warna larangan, dan memperkenankan pakaian kebangsaan bagi memberi keselesaan kepada dif perempuan. Baginda menghidupkan gelaran diraja yang pernah digunakan pada zaman dahulu di negeri Johor, seperti Laksamana, Panglima dan Putera serta mengadakan bendera bagi penyandang gelaran tersebut.


Share this Product