Biografi Tengku Abdul Kadir Kamaruddeen: Raja Patani Terakhir
Penerbitan Biografi Tengku Abdul Kadir Kamaruddeen: Raja Patani Terakhir membekalkan pelbagai maklumat yang belum pernah diketahui umum, pengisian padat dan pengetahuan mengenai beberapa peristiwa penting lagi bersejarah. Ada kaitannya dengan suasana sosio politik Negeri-negeri Melayu Utara Semenanjung yang lain, menjadi naungan Siam menjelang akhir abad ke-19. Mahupun kesedaran terhadap nasib malang rakyat Patani apabila kehilangan raja memerintah atau pemimpinnya, seperti ungkapan peribahasa Melayu berbunyi, ‘Bagai anak ayam kehilangan ibu.’ Rakyat Patani yang ditinggalkan dan terus menempuh penghidupan sengsara tidak berpedoman dalam sebuah negara, di mana sistem perundangan dan seluruh warga penduduknya bukan beragama Islam.
Mereka terpaksa menghadapi penderitaan itu tanpa perasaan taat setia terhadap seorang pemimpin tradisional Melayu, dapat melindungi mereka daripada menjadi mangsa keganasan akibat suatu tindakan amat kuat penindasannya. Menerusi sejarahnya, jelas terpapar kini, wilayah-wilayah Patani, Yala dan Narathiwat, Selatan Thailand, pada abad zaman kegemilangannya merupakan sebuah negeri Melayu pemerintahan Islam dan sebuah kerajaan bertaraf merdeka dan berdaulat. Kegemilangan negeri Patani Darussalam diperintah raja-raja Melayu silih berganti, turun-temurun seperti mana wujud kerajaan setiap negeri-negeri Melayu terdapat di Semenanjung Malaysia.
Kehidupan pahit getir yang ditempuh beserta dilalui Tengku Abdul Kadir Kamaruddeen, perlu dirakamkan kembali pengalaman dan penghayatannya kepada para pembaca. Paparan ini sangat wajar dijadikan iktibar supaya dapat direnung semula dan ditelusuri bersama segala peristiwa penting menerusi perjuangan baginda yang lebih mesra di panggil Raja Phrak Phipit. Di samping melihat perubahan demi perubahan dilakukan, akibat campur tangan suatu kuasa luar yang terlalu asing, tanpa ada tegahan, bantahan atau bantuan mana-mana kuasa yang mampu mengubahnya.