
Rupa dan Gaya: Busana Melayu
Kreativiti dan keunikan cita rasa busana dan tekstil Melayu garapan Azah Aziz terungkai indah dalam Rupa dan Gaya: Busana Melayu. Azah Aziz begitu mencintai warisan Melayu. Lalu beliau mengambil daya usaha menghimpun dan mengumpulkan ciri-ciri, unsur-unsur, sifat-sifat, adat-resam dan artifak yang dirasakannya dapat memancarkan nilai-nilai keindahan yang menjadi warisan orang Melayu sejak zaman silam. Istimewanya Rupa dan Gaya: Busana Melayu, ianya digarap dan disulam bersama keindahan syair, pantun, gurindam, ungkapan dan pelbagai bahan bacaan kegemarannya. Minatnya dalam menelusuri bidang ini bagaikan lautan yang tak bertepi. Buku ini memancarkan warna-warni pengalaman dan jiwa peribadi pengarang.
Pada dasarnya, kandungan Rupa dan Gaya: Busana Melayu berkisar sekitar busana dan tekstil Melayu, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu dan juga bidang-bidang kesenian lain yang ada kaitan dengannya. Patut dicatatkan di sini bahawa penulis tidak menyentuh tentang busana Sabah dan Sarawak dalam buku Rupa dan Gaya: Busana Melayu kerana menurut hemat penulis, pengetahuan beliau mengenai hal itu yang amat terbatas mengenainya. Kalau dicampurkan busana kedua-dua negeri itu, terdapat lebih 60 jenis busana yang masing-masing mempunyai daya penarik dan keindahannya yang tersendiri. Tekstil tenunan, sulaman dan hiasan manik yang halus buatan negeri-negeri itu memang mengagumkan pencinta budaya dan seni di Semenanjung Tanah Melayu! Maka biarlah orang Sabah dan Sarawak yang lebih tahu dan arif mengenainya, memperkatakannya sendiri.
Melalui buku Rupa dan Gaya: Busana Melayu, penulis ingin merenung kembali nilai-nilai estetika dari persepsi dan daya kreatif orang Melayu zaman dahulu, yakni menurut fahaman peribadi penulis. Maka penulis cuba kumpulkan ciri-ciri, unsur-unsur, sifat-sifat, adat-resam, dan artifak yang beliau rasa memancarkan nilai-nilai keindahan yang menjadi pegangan orang Melayu sejak zaman silam. Ingin penulis rakamkan juga aneka konsep dan kehalusan cita rasa yang sebilangannya masih berkekalan dalam budaya Melayu hingga hari ini. Semestinyalah usaha ini amat terbatas dan hanya mampu menghayati cebisan dan imbasan daripada segala yang menyerlah yang dapat penulis tadah dan tampung. Namun, menurutnya, beliau tidak ragu-ragu mengetengahkannya untuk dikongsi dan dinikmati bersama oleh generasi hari ini, tua dan muda.